Asal Selut Pulang ke Selut 2

11:05 PM Shamsul 0 Comments

Akibat mandi air pasang, selepas keseronokan yang tak terhingga itu, saya dimandikan dengan air tawar oleh  Mak Cik kami siap dengan berus dan sabun basuh baju yang kasar. Itupun selepas dua tiga kali diselinap dengan rotan di pungung yang basah. Mak Cik kami yang dikenali sebagai Mak Cik Noney ialah orang yang mengasuh saya sejak dilahirkan dan dijadikan anak angkat oleh bapa saudara saya yang dikenali sebagai Uncle oleh seisi rumah. Nama yang sebenar ialah Hamid Bin Taib @ Paul Nanda. Kedua-dua mereka adalah adik dan abang. Mereka masih tidak berumahtangga pada masa itu. Kami merasa sangatlah bertuah dilayan oleh mereka dengan penuh kasih sayang. Ibu kandung saya adalah anak yang sulung dari ketiga beradik dan merupakan anak kandung datuk dan nenek saya.

Datuk berasal dari Ceylon yang sekarang dikenali sebagai Sri Lanka dan beliau adalah seorang pelukis dan dan bertugas sebagai pelukis latar belakang untuk kumpulan Persembahan Bangsawan yang sering membuat persembahan di sekitar Nusantara pada masa itu. Mak Cik saya pernah menceritakan tentang gelagat datuk yang selalu minum arak hinga mabuk. Beliau akan pulang pada tiap-tiap malam terhuyung-hayang mabuk dan akan menyeksa anak-anak beliau dengan menyuruh menyayi dan menari. Pada suatu hari Mak Cik memberi tahu pada beliau, latar belakang untuk persembahan pada esok hari belum disiapkan. Datuk saya kembali ke pentas Bangsawan malam itu juga dan diekori oleh Mak Cik. Beliau melihat datuk saya tuang berberapa warna di atas kanvas yang besar itu dan menanggal kasutnya. Beliau kemudian memijak kaki ke atas cat yang di tuang dan berjalan merata-rata di atas kanvas dan lama kelamaan timbullah pokok-pokok yang dipenuhi dengan daun-daun melengkapi latar belakang seperti yang diharapkan oleh majikannya.


 Dalam episod yang lain, Mak Cik pernah menceritakan bagaimana datuk saya yang kesemua seisi keluarga memanggil dengan nama Sia, dalam keadaan mabuknya telah tertinggal satu peti yang penuh dengan wang kutipan hasil dari persembahan pada malam itu dalam teksi. Pemandu teksi yang menghantar datuk saya hari itu mungkin hari ini telah menjadi seorang jutawan, dan datuk saya mula hilang kepercayaan dari rakan-rakan beliau dan menjadi muflis. Minum arak ialah penyakit yang membelenggu datuk dan ayah saya. Kedua-duanya berasal dari Sri Lanka dan kedua-duanya merupakan pakar dalam kesenian masing-masing. Datuk seorang pelukis dan ayah pula seorang tukang emas. Saya dapat bersama datuk sehingga umur dua belas tahun. Saya selalu disuruh oleh datuk memicit badan beliau dengan upah sebanyak lima atau sepuluh sen yang pada masa itu tinggi nilai. Datuk suka makan sirih hinggakan misai dan jangut beliau yang  putih melepak selalu berlumuran merah seperti darah. Beliau akan meludah air sirih yang berwarna merah itu ke dalam tin yang disediakan. Telah menjadi tangungjawab saya untuk mengosongkan ‘spitoon’ atau tin ludah beliau. Suatu tugas yang cuba dielakkan oleh kesemua sepupu-sepupu kami yang juga jadi mangsa tabiat datuk. Saya sangat kasih akan beliau. Rupa beliau seakan seorang Eropah, berkulit putih, rambut, misai dan jangut pun sama. Apa paling menarik yang saya perhatikan tentang beliau ialah beliau sentiasa melakukan sesuatu seperti menulis,membaca, melukis mereka patung-patung dan haiwan dari kertas ‘Paper mache’. Jarang sekali saya melihat beliau melepak tanpa membuat sesuatu. Hingga sekarang saya memegang amalan ini dalam hidup saya. 





0 comments: