Asal Usul KU.

10:56 PM Shamsul 0 Comments

12hb. 8 1949; Kami dua beradik dilahirkan.


Journey to the Lord of Power’.
“ Mujok hang tak mati lemaih dalam perut mak Hang, aku tak sangka yang ada lagi satu dok tunggu nak keluak, aku ingat mak hang turun darah lepaih abang hang keluak.” Kata Mak Timah Bidan yang juga kakak kepada ibuku.  Mak Timah atau dikenali juga dengan panggilan Aci Timah Bidan sangatlah terkenal sebagai saorang bidan di-Kampung   Selut, Sungai Pinang malah beliau dikenali merata kampung lain seperti Kampung Dodoi, Kampung Makam, Jelutong, dan lain lagi. Mami Habsah Bidan adalah bidan yang kedua di kawasan yang sama tetapi tidak terkenal seperti Mak Chak kami.

Oleh sebab beliau anak sulong dalam keluarga Abu Taib bin Abdullah dan Zainab binti Husin, semua orang dalam keluarga kami panggil dia Mak Chak. Mak Chak lebih gelap kulitnya.Beliau merupakan seorang peranakan Hindu. Rupa beliau  manis dengan tubuh badan yang kecil. Mengikut datuk saya, beliau asalnya anak seorang Badwi yang berasal dari Negara Sudan. Datuk saya mengambilnya sebagai anak angkat.  Beliau selalu berbaju kurung Jawa, berkain batik dan sentiasa mengepit beg tangan hitamnya bila ke sana sini. Bila  duduk bersembang, rokok daun sentiasa dimulut. Kadangkala apabila sudah selesai tugasnya, beliau akan kelihatan membawa bakul pengkeras yang selalunya diisi dengan sebiji kelapa tua, beras, sepucuk damak, seutas benang basah dan sintok limau dan kadangkala sehelai kain batik yang belum dipakai. Inilah upahnya memberi bantuan sebagai  seorang Bidan. Ada kemungkinan yang juga menjadi upahan, yang tu saya tak dapat pastikan sebab bila kecek duit kat dia, kena pulaih telinga lepas tu baru dapat lima sen. 
Pada setiap hari, pada musim air pasang besar, air masin akan membanjiri semua kawasan kampung sehinga enam kaki tinggi. Keadaan ini berlaku dua kali dalam sebulan, air pasang malam dan air pasang siang.  Kawasan kampung in terletak dalam kawasan bakau atau ‘mangrove swamp’. Apabila air surut segala sampah sarap ditinggalkan termasuk bangkai haiwan seperti anjing, babi, kucing, itik dan ayam. Bayangkanlah apa berlaku dengan bahan dari jamban di sekeliling kampung. Sudah menjadi kebiasaan menemui najis terletak di atas anak tangga rumah masing-masing dan tak pernah ada tuduh menuduh di kalangan jiran. “Hoi! Ni najis hang la ni!,”  soal asal-usul tidak dipolitikkan. Pada masa air surut dan cuaca panas terik, seluruh kampung diharumi bauan selut, bauan bangkai binatang2, dan najis yang di tanggalkan air pasang. Keadaan ini juga sudah jadi kebiasaan bagi kami penghuni Kampung Selut. Pada mereka yang datang mengujungi kami selalunya kelihatan menutup hidung dengan kain selendang atau dua jari memicit hidung mereka . Bak kata, alah bisa kerana biasa, inilah gaya hidup kami sejak dilahirkan hingga umur enam tahun.









    

0 comments: