Diam (Tafakur) Itu Emas — Tetapi Tidak Selalu
Diam (Tafakur) Itu Emas — Tetapi Tidak Selalu
Ada batasan dalam berkongsi sesuatu. Mendedahkan diri sendiri demi kebenaran atau penyembuhan adalah satu hal—tetapi mendedahkan kelemahan atau masalah orang lain dalam proses itu tidak wajar. Di tahap pengalaman manusia yang lebih dalam, ada perkara yang didengari atau dilihat yang tidak patut dikongsikan secara umum, walaupun kita rasa berhak melakukannya. Sesetengah kebenaran, apabila dibongkar, boleh menjadi beban atau menjatuhkan orang lain.=, malah diri sendiri.
Kita semua berjalan dalam hidup ini dengan tongkat dan penutup mata—untuk terus bergerak dalam perjalanan yang panjang dan melelahkan ini. Tongkat itu hadir dalam pelbagai bentuk—keterikatan pada nafsu, kepatuhan membuta tuli, dadah, hiburan, atau ego. Ego perlukan bahan bakar untuk terus hidup. Tapi ego tidak datang sendirian—ia hadir bersama bayangannya: diri gelap, (the Shadow), yang sering disangka sebagai bawah sedar, tetapi sebenarnya punca penderitaan, kejahilan, dan keinginan buta. Diri rendah inilah yang melekat, tamak, takut dan buta terhadap iman serta kesedaran.
Ego mewujudkan penderitaan apabila ia menyangka yang palsu sebagai nyata. Kesedaran muncul bila kita menyedari bahawa ego hanyalah tiruan—produk minda yang berfikir secara dualistik: baik dan buruk, betul dan salah, atas dan bawah. Dualiti ini memisahkan kita daripada kebenaran dan menyokong identiti rapuh yang kita cipta.
Mereka yang benar-benar mencari Tuhan, diri yang tinggi -sejati, Keimanan dalam diri—mereka melepaskan tongkat itu. Mereka berjalan sendiri, bebas daripada ilusi, tidak lagi terbelah antara "luar" dan "dalam". Dengan penyucian diri, pengorbanan dan penyerahan mutlak, mereka berdiri di ambang penyatuan dengan Ilahi—satu langkah lagi menuju kesedaran, (Enlightenment) Buddha atau kehampiran-pendekatan dengan Tuhan.
Kematian Nafs - ego adalah kelahiran seorang Buddha. Selagi ada “aku”, selagi itu ada penderitaan. Untuk melangkah melalui Pintu Tanpa Pintu, sampai ke seberang, dan bersatu dengan yang Ilahi, seseorang itu mesti lenyap sebagai satu entiti. Ini bukan jalan untuk yang lemah semangat. Ia menuntut komitmen penuh, niat suci, dan ketekunan. Ia adalah jalan yang merentasi banyak hayat, menuju kebijaksanaan melampaui segala dualiti.
Perjalanan saya ke Pulau Kapas—walau tidak dirancang dan sekejap—telah membangkitkan sisi tubuh, minda dan jiwa saya yang saya sendiri tidak sedari. Bukan semua yang saya temui itu positif, tetapi kebanyakannya menolak saya lebih jauh ke arah mengenali diri. “Diam itu emas” mungkin satu klise, tapi ia benar dalam amalan mencari diri. Diam itu wujud di antara dua nafas. Di situlah titik mula.
Saya ke Kapas mencari ketenangan—untuk mendiamkan minda yang sentiasa berceloteh. Saya menemuinya, dan pada masa yang sama tidak. Segala yang berlaku di sekeliling saya adalah diam yang saya cari—jika saya lebih peka. Pulau ini menawarkan suka dan duka, kebebasan dan belenggu. Setiap orang yang saya temui membawa beban dalam diri—termasuk saya sendiri. Minda saya mencipta senario terbaik untuk menguji niat spiritual saya. Saya boleh saja duduk di rumah menonton Netflix atau bersedih tentang Gaza. Saya boleh larut dalam ceramah Shunyamurti. Tapi sifat saya enggan terperangkap dalam satu babak hidup. Saya perlukan variasi untuk faham kedudukan dharma saya, untuk rasa dari mana saya datang sebelum saya pergi buat selamanya.
Dalam diam, dalam tidak keterikatan, dalam tidak mengenali diri dengan paparan layar itulah saya temui kejelasan. Saya adalah projektor. Saya adalah pengarah. Saya adalah penulis skrip. Inilah episod karmic saya. Hanya dalam diam saya dapat merasai kehadiran Ilahi dalam kesedaran saya.
Saya bercakap dengan dua kakak saya—seorang di KL, seorang lagi di Terengganu. Masing-masing menanggung kesakitan dalam usia tua. Yang di KL bergelut dengan kaki luka akibat diabetes, yang satu lagi baru pulang dari urusan bank dan telefon yang bermasalah. Hidup sedang runtuh—untuk mereka, dan juga untuk saya. Namun ya, diam -kekosongan itu emas—bila hati bebas.
WallahuAlam.
#SilenceIsGolden #DeathOfTheEgo #SpiritualJourney #PulauKapasReflections #KarmaAndConsciousness #PathToLiberation #AwakeningTheSelf #DualityAndOneness #JalanKesedaran #DiamItuEmas #PintuTanpaPintu #EgoDanBayangannya #KesedaranIlahi #KapasDiHati #PerjalananDiri #KesunyianYangMenyembuhkan #KebenaranDalamDiam
0 comments: